Menu



KEMAMAN - Sebuah kereta yang dipandu secara merbahaya oleh seorang lelaki, nekad merempuh beberapa kenderaan lain dalam cubaan meloloskan diri dari polis di Bandar Baru Kerteh semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, suspek berusia 32 tahun, memandu kereta jenis Honda Jazz yang juga dinaiki teman wanitanya, 25, memecut kenderaannya yang membawa dadah bernilai RM20,000 sejauh lapan kilometer.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pihaknya sebelum itu telah menerima maklumat aktiviti penjualan dadah di sekitar kawasan tersebut.

Susulan maklumat itu, polis melakukan rondaan di kawasan terbabit sebelum terserempak dengan sebuah kereta dinaiki pasangan itu yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan, di kawasan Kampung Batu Putih.

"Sejurus menyedari kehadiran polis, suspek terus memecut kenderaannya dengan memandu dalam keadaan berbahaya tanpa menghiraukan arahan anggota yang beberapa kali meminta agar berhenti.

"Suspek nekad merempuh empat buah kereta yang ada berhampiran dalam usaha meloloskan diri, namun akhirnya mereka berjaya ditahan selepas dikejar hampir 25 minit, berhampiran sebuah restoran makanan segera di Kerteh di sini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hanyan berkata, pihaknya percaya kedua-dua suspek ke kawasan berkenaan untuk menjual dadah kepada penagih di sekitar lokasi tersebut dan hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai beberapa rekod lampau berhubung kesalahan dadah.

Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: SINAR



cpn
 
Top