Menu



Bekas jurulatih kebangsaan, Tai Beng Hai disambar Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) bagi mengendalikan skuad Piala Razak bermula dari 18 hingga 28 September ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Jurulatih berusia 55 tahun kelahiran Perak berkenaan mengakui teruja diberi kepercayaan oleh PHNT untuk membimbing skuad itu buat kali pertama dalam kariernya.

"Saya lihat Terengganu pasukan bagus dan mempunyai ramai pemain berbakat termasuk pemain kebangsaan serta pemain Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (Sekolah Sukan Bandar Penawar).

"Jadi, peranan saya hanya perlu gabungkan mereka untuk membentuk pasukan mantap, lebih-lebih lagi pemain sedia ada yang mempunyai pengalaman sudah tentu boleh membantu pasukan membimbing pemain baharu.

"Tapi kita akan membuat pemilihan pemain yang bakal menggalas tugas sedikit masa lagi mengikut prestasi semasa mereka," katanya.

Dia berkata demikian selepas majlis penyerahan tajaan jersi pasukan di Stadium Hoki Batu Buruk oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Ketika ditanya peluang Terengganu merangkul kejuaraan musim ini selepas hanya menduduki tempat ketiga musim lalu dan naib juara pada 2018, Beng Hai yang dibantu penolongnya, Nordin Musa mengakui pasukannya mampu mencipta kejayaan musim ini.

"Salah satu kekuatan yang ada setiap tahun, skuad Terengganu menyertai kejohanan Liga Hoki Malaysia (MHL) selain mempunyai pemain berbakat besar yang sering kali membarisi skuad kebangsaan.

"Jadi, saya lihat peluang buat Terengganu merangkul kejuaraan cerah, namun kerana semua pasukan baharu memulakan latihan berikutan COVID-19, mungkin ia memberi peluang sama kepada semua pasukan," katanya.


Berita Harian


cpn
 
Top