Menu



JERTEH : Sebanyak tiga premis makan di mana dua di daerah Besut dan satu lagi di daerah Setiu diarah tutup dua minggu berikutan gagal mencapai tahap piawaian kebersihan oleh KKM. 

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, arahan penutupan itu dikeluarkan dalam Ops Bersepadu Premis Makanan Bersih di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983, semalam.

"Sebanyak 54 premis makanan meliputi 34 buah restoran atau kedai makan dan 20 buah gerai makanan telah diperiksa sepanjang dua hari operasi diadakan di dua daerah tersebut.

“Sebanyak 62 notis memerintahkan kehadiran di mahkamah bagi kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM16,350,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, daripada jumlah tersebut, kesalahan berkaitan pakaian pengendali makanan adalah yang paling banyak dikesan iaitu sehingga sebanyak 43 notis dikeluarkan.

"Tujuh notis dikeluarkan bagi kesalahan majikan menggaji pekerja yang tidak menjalani latihan dan tiada pelalian anti-tifoid, manakala kesalahan memakai perhiasan diri seperti jam dan cincin sebanyak enam notis.

"Tiga notis turut dikeluarkan atas kesalahan tidak menjalani latihan pengendali makanan, pengendali makanan gagal mengekalkan premis makanan bersih (dua notis), manakala pengendali makanan tiada pelalian anti tifoid (satu notis)," katanya.

Selain itu, sebanyak 16 lagi premis turut dikompaun sebanyak RM10,000 oleh pihak berkuasa tempatan kerana didapati gagal mematuhi syarat pelesenan.

Operasi tersebut dijalankan oleh seramai 64 penguatkuasa dari pelbagai agensi kerajaan iaitu KKM, Majlis Daerah Setiu dan Majlis Daerah Besut.

“Ia difokuskan kepada premis tumpuan ramai, persinggahan pelancong bagi memastikan ia beroperasi dalam keadaan bersih, terkawal dan mematuhi peraturan ditetapkan supaya makanan yang dijual kepada pelanggan bersih, selamat dan bebas daripada risiko keracunan makanan.

“Pemantauan akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan mematuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya,”


Gambar Hiasan



cpn
 
Top