Menu



KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu masih belum membenarkan warga asing menunaikan solat berjemaah di semua masjid dan surau di negeri ini.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, ia berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Berdasarkan SOP dikeluarkan setakat ini, warga asing belum dibenarkan untuk solat di masjid atau surau.

"Bagaimanapun, kita akan pertimbangkan bagi mereka yang berkhidmat dengan kerajaan seperti di institusi pengajian awam (IPT) serta yang memohon kebenaran solat Jumaat," katanya di sini hari ini.

Mat Azmi berkata, permohonan bagi solat berjemaah tidak dibuka kepada semua memandangkan tiada jaminan terhadap tahap kesihatan golongan warga asing yang tidak terlibat dengan aktiviti atau kerja di peringkat kerajaan.

"Berdasarkan SOP dikeluarkan setakat ini, Maidam yang membenarkan semua aktiviti agama dilaksanakan di masjid dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ia juga perlu bersesuaian dengan kapasiti jemaah masjid yang dijarakkan serta mereka boleh solat di luar bangunan masjid jika ada keperluan dan dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, langkah itu terpaksa diambil memandangkan negara masih dilanda pandemik koronavirus (Covid-19).

SINAR HARIAN



cpn
 
Top