Menu



Kuala Terengganu: Situasi banjir di Terengganu pada 8 pagi ini tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 361 orang daripada 90 keluarga.

Ia berbanding 357 orang (89 keluarga) pada 8 malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) juga kekal 12 pusat di empat daerah iaitu enam di Kuala Nerus, empat di Dungun, satu di Marang dan satu di Kuala Terengganu.

Beliau berkata, di Kuala Nerus, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 224 orang daripada 56 keluarga, berbanding 220 orang daripada 55 keluarga pada 8 malam tadi.

"Jumlah mangsa di tiga daerah iaitu Dungun, Marang dan Kuala Terengganu pula kekal tidak berubah seperti malam tadi iaitu di Dungun, 81 orang daripada 19 keluarga masih berada di empat PPS.

"Di Kuala Terengganu pula, seramai 30 orang (lapan keluarga) di satu PPS manakala di Marang, seramai 26 orang (tujuh keluarga) di satu PPS," katanya kepada pemberita, hari ini.

Selain itu, Che Adam berkata, cuaca di dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Kuala Nerus juga semakin baik pagi ini.

"Di Hulu Terengganu pula, berlaku hujan lebat awal pagi tadi, namun masih belum ada PPS dibuka setakat ini, manakala di Hulu Kemaman dan Hulu Dungun pula, saya dimaklumkan terdapat peningkatan paras air sungai dan berkemungkinan terdapat PPS yang akan dibuka dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, data Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan stesen bacaan di dua sungai di Terengganu sudah melepasi paras bahaya setakat 8 pagi ini.

Dua sungai itu ialah Sungai Chalok di Setiu merekodkan bacaan setinggi 9.07 meter (m) mengatasi paras bahaya 8.40 m dan Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja setinggi 37.91 m (paras bahaya 37.5 m).

Dua lagi sungai di Setiu pula sudah mengatasi paras amaran iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap setinggi 20.14 m (paras amaran 20 m) dan Sungai Setiu di Kampung Besut setinggi 17.27 m (paras amaran 17 m).

Harian Metro
Foto : BERNAMA



cpn
 
Top