Menu



KEMAMAN - "Sepatutnya masyarakat semakin takut dan taat kepada ALLAH SWT dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) tetapi masih ada yang buas malah tidak malu menghampiri perbuatan zina," kata Hakim Syarie Mohd Fakhruddin Yusof dalam penghakimannya sebelum menjatuhi hukuman terhadap dua pasangan yang didakwa melakukan kesalahan jenayah syariah.

Mahkamah Rendah Syariah pada Ahad mengarahkan seorang kerani wanita menjalani pemulihan selama enam bulan selepas dicekup bersama kekasihnya di sebuah bilik.

Keputusan dibuat selepas wanita berusia 24 tahun itu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Sementara itu, pasangan kekasihnya yang berusia 31 tahun dan bekerja sebagai juruteknik dihukum penjara dua minggu dan denda RM2,900.

Tertuduh turut berdepan dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Berdasarkan fakta kes, kedua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Kertih, di sini jam 1.20 petang pada 19 Ogos lalu.

Sepasukan pegawai dan penguat kuasa syariah melakukan serbuan berwaran di sebuah bilik dan mendapati tertuduh lelaki hanya memakai seluar pendek tanpa baju.

Pemeriksaan di dalam bilik berkenaan kemudian menemui tertuduh wanita yang memakai tuala di dalam bilik air.

Siasatan lanjut mendapati hanya mereka berdua berada di dalam bilik berkenaan dan soal siasat mendapati mereka berdua tiada hubungan suami isteri.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang wanita berstatus janda berusia 29 dan seorang lelaki berusia 23 tahun didakwa mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Tertuduh lelaki yang bekerja sebagai pemeriksa kawalan kualiti dan tertuduh wanita yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara seminggu serta denda RM2,700.

Kedua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik hotel di Bandar Seri Kerteh, di sini jam 9.30 malam pada 8 Jun lalu.

Siasatan mendapati keduanya tiada hubungan suami isteri atau mahram.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes itu dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah.

Sinar Harian


cpn
 
Top