Menu



HULU TERENGGANU – Seorang wanita tergamam apabila taska yang diusahakan tiba-tiba dicerobohi seorang penjenayah sehingga dia kerugian kira-kira RM8,000 di Jalan Sekolah Menengah Mahmudiah, Kuala Berang di sini hari ini.

Tambah mencemaskan Khatijah Ali, 58, apabila dia bersma cucunya yang berusia dua tahun diancam dan diacu dengan selaras senapang angin oleh lelaki berkenaan dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi.

Menceritakan semula kejadian, Khatijah memberitahu, sewaktu kejadian, beliau dan anak perempuannya yang berusia 29 tahun sedang menyediakan makanan untuk lima kanak-kanak di bawah jagaan taskanya.

“Lelaki (penjenayah) itu masuk menerusi pintu dapur sebelum mengacu senapang (angin) ke arah saya sebelum meminta duit.

“Dia kemudiannya mencapai beg tangan saya dan anak yang kebetulan diletakkan di atas kabinet dapur sebelum saya memberanikan diri cuba merampas semula sehingga berlaku pergelutan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Khatijah berkata, sewaktu pergelutan itu, satu tembakan telah dilepaskan sebelum penjenayah tersebut mengacukan senapang anginnya pula ke arah dahi cucunya yang sedang duduk di atas kerusi berhampiran sinki dapur.

Beliau berkata, dia terpaksa melepaskan dua beg tangan yang mengandungi wang tunai hampir RM4,000, dua utas rantai leher dan dua bentuk cincin kepada lelaki tersebut. 

– K! ONLINE.



cpn
 
Top